BATU PAHAT – Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM15 juta dan RM4.5 juta bagi Projek Pembangunan Industri Kelapa dan kopi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Kesemua itu merangkumi penyeliaan infrastruktur dan fasiliti pengendali lepas tuai, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh menyatakan
Selain itu peruntukan berkenaan termasuk juga dalam pembekalan input-input pertanian, perolehan bahan, peralatan kawalan perosak dan pemindahan teknologi bagi kedua-dua tanaman.
“Jika dilihat statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian setiap dua tahun, pada 2020 kawasan tanaman kopi di negara ini adalah 2,200 hektar dan mampu mengeluarkan sehingga 4,241 tan setahun.
“Tanaman hasil berlandaskan kopi ini adalah untuk tujuan eksport dan ianya dari jenis Liberica serta Robusta. Kawasan tanaman utama kopi di negeri ini adalah Johor, Sabah serta Sarawak,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kelapa & Kopi Tahun 2022, di Pusat Pertanian Parit Botak hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Eliyas Saad.
Dalam pada itu bagi tanaman kelapa pula, kementerian menumpukan empat varieti melibatkan kelapa hybrid matag, Malayan Yellow Dwarf, Malayan Red Dwarf dan kelapa pandan, kata Muhammad Zawawi.
Jelasnya, keluasan tanaman kelapa membabitkan 84, 942 hektar dengan pengeluaran sebanyak 536 juta biji untuk tempoh yang sama.
“Sehingga hari ini sebanyak 65.4 peratus keluasan tanaman kelapa di Semenanjung manakala 34.6 peratus adalah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya-MalaysiaGazette