Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berucap pada Perhimpunan Keluarga Kesatuan Sekerja Se-Malaysia 2022 di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang mengkaji untuk meringankan nasib dan beban bekas pekerja di sektor swasta selepas bersara pada usia 60 tahun.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini kerana selepas bersara, mereka tidak mempunyai skim pencen untuk menyara hari tua, berbanding pesara sektor awam.

Katanya, beliau akan meminta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meneliti dan memperhalusi inisiatif terbaik untuk golongan berkenaan, sama ada boleh atau tidak tukar skim caruman sedia ada kepada skim pencen.

“Saya amat risau, saya lihat khususnya pekerja swasta yang bersara di usia 60 tahun, populasi golongan ini semakin bertambah menjelang 2030.

“Kebanyakan mereka pula selepas bersara tidak ada jaring keselamatan, tidak ada pendapatan dan tidak ada simpanan. Bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Keluarga Kesatuan Sekerja Se-Malaysia 2022 di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini, petang ini.

Sementara itu, dalam ucapannya Saravanan berkata, kerajaan menerusi kementeriannya sedang berusaha menangani isu perburuhan negara dengan cara terbaik supaya pihak berkepentingan sama ada majikan atau pekerja mendapat manfaat sewajarnya.

Untuk itu, katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi Parlimen Oktober ini.

“Dengan cadangan pindaan ini, kerajaan akan memberi lebih kebebasan kepada pekerja untuk menubuhkan dan menyertai kesatuan sekerja.

“Pindaan kepada akta ini dibuat dengan mengambil kira prinsip utama di bawah Konvensyen No. 87 Pertubuhan Buruh Antarabangsa atau kebebasan berpersatuan.

“Namun, saya dapati beberapa pihak telah meluahkan kebimbangan khususnya pindaan berkaitan perluasan skop keanggotaan kesatuan sekerja yang dianggap akan melemahkan suara kesatuan berikutan wujudnya pelbagai kesatuan sekerja di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi menjelaskan cadangan pindaan akta itu kepada pihak berkepentingan dengan lebih jelas, bacaan kali kedua RUU berkenaan telah ditangguhkan pada Julai lalu. – MalaysiaGazette