Keinginan seorang pelajar sekolah menonton wayang bersama rakannya tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Jalan Pokok Mangga di Melaka malam tadi.

MELAKA – Keinginan seorang pelajar sekolah menonton wayang bersama rakannya tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Jalan Pokok Mangga di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.16 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Syahmi Rosli, 16, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas membabitkan tiga buah kereta dan motosikal milik mangsa.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Malim menghala ke Dataran Pahlawan untuk menonton wayang dipercayai telah berlanggar dengan sebuah kereta Mercedes Benz E230 dari arah Klebang hendak masuk ke Simpang Taman Sri Pandan.

“Rempuhan mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum kereta dipandu lelaki berusia 67 tahun itu kemudian merempuh dua lagi kereta Honda Accord dan Proton Aeroback,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Christopher, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Spesimen darah telah diambil oleh pengawai penyiasat untuk pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah dalam darah mangsa,”katanya.

Kes itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette