Datuk Khaidhirah Abu Zahar

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mempertahankan pelantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Khaidhirah Abu Zahar sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia, sebagai wajar dan layak memegang jawatan itu.

Mengulas kritikan sesetengah pihak yang mendakwa pelantikan Khaidhirah sebagai pengerusi majlis penasihat itu sebagai lantikan politik, Zahidi berkata tidak ada masalah untuk melantik ‘orang politik’ yang layak.

Beliau berkata Khaidhirah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merupakan seseorang individu yang mudah didekati oleh masyarakat, justeru lebih banyak komen membina dapat diterima daripada orang awam bagi menambah baik bidang perfileman.

“Apa masalah kalau lantik orang politik? Kebanyakan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), penasihatnya kita lantik bekas pesara kerajaan, pesara politik dan juga orang politik. Itu menjadi kebiasaan untuk dilantik kerana mereka layak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Jasamu Dikenang 2022 Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lepas, Khaidhirah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim sekali gus melakar sejarah sebagai selebriti pertama bergelar wakil rakyat.

Sebelum menyertai politik, Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira aktif dalam dunia lakonan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa pada 17 Sept mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia bagi menggubal dasar-dasar lebih proaktif ke hadapan untuk membantu pemain industri berkenaan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast