shahril hamdan OPR
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Pengarah Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin menuduh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal mengurus negara walaupun sudah lebih satu tahun sebagai Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, bekas Perdana Menteri kelapan itu melemparkan tuduhan ke atas penggantinya tanpa mencerminkan diri sendiri sepanjang Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Bahkan, katanya, jika Presiden Bersatu itu masih Perdana Menteri, tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan sehingga hari ini.

“Tidak dinafikan, keadaan ekonomi global yang tidak menentu telah menyebabkan situasi yang amat mencabar untuk rakyat.

“Sebab itu pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, iaitu dari soal kemiskinan sehinggalah menurunkan pengangguran dengan drastik.

“Masih banyak yang perlu dilakukan untuk perbetul keadaan rakyat yang terkesan dari tamparan hebat sejak pandemik Covid-19. Tetapi, ini bukan alasan untuk individu tertentu melemparkan label tanpa cermin diri,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan berkata, Ismail Sabri terus gagal menguruskan masalah ekonomi negara ketika semakin ramai rakyat bergelut dengan kesusahan hidup.

Muhyiddin mendakwa, ada bermacam isu sedang dihadapi rakyat di negara ini namun Perdana Menteri itu dilihat tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang penting untuk diatasi.

Pada masa sama, kata Muhyiddin, Barisan Nasional (BN) giat mendesak Ismail Sabri agar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Shahril Sufian menyifatkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan bekas Perdana Menteri yang banyak membuat keputusan janggal sepanjang memegang jawatan itu lebih setahun lalu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO mempersoalkan dakwaan Muhyiddin bahawa banyak syarikat terpaksa kecilkan operasi atau ditutup pada masa pemerintahannya.

“Agaknya syarikat terpaksa kecilkan operasi dan ditutup atas sebab apa? Agaknya zaman bila? Cuba tengok berapa syarikat yang tutup semasa dia jadi perdana menteri? Lebih 100,000 perniagaan tutup operasi semasa Covid-19.

“Ya sebahagiannya disebabkan Covid-19 memuncak tetapi sebahagiannya juga sebab perdana menteri waktu itu sendiri tidak ada ketegasan apa jalan keluar dari belenggu Covid-19. Kejap A, kejap B. Kejap buka kejap tutup.

“Mujur Datuk Seri Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, buka semula ekonomi. Tarik pelaburan sehingga angka tertinggi dalam sejarah dicatat sebanyak RM72.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan,” jelasnya.

Katanya, melalui Bajet 2022, Perdana Menteri juga telah memperkenalkan program Semarak Niaga berjumlah RM40 bilion untuk membantu usahawan dan perniagaan membina semula punca rezeki mereka.

Ini juga ujar beliau, dilengkapi oleh inisiatif Jamin Kerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas.

Hasil daripada itu, pengangguran turun 12 bulan berturut-turut setelah Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri kepada 3.8 peratus dan jumlah status bekerja naik sekitar 600,000 dari Ogos 2021 hingga Julai 2022.

“Malah, jualan barangan borong dan runcit juga meningkat dengan kadar tertinggi sepanjang tahun ini. Kadar muflis juga menurun tahun ini.

“Kalau Tan Sri Muhyiddin? Lockdown sampai bila? Nak kerja atau berniaga macam mana? Nak dapat pendapatan macam mana?”soal beliau.

Shahril Sufian turut menjawab tuduhan Muhyiddin bahawa ringgit lemah dengan berkata, tidak ada sesiapa yang menafikan ringgit Malaysia menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat.

Tetapi tegasnya, ringgit Malaysia lebih kukuh berbanding British Pound, Yen Jepun, South Korean Won dan beberapa matawang lain.

“Muhyiddin kata kerajaan tidak bersungguh-sungguh memulihkan ringgit berbanding Dolar. Apa idea hebat beliau? Hendak tambat matawang? Hendak buat “capital controls”? Hendak pakai rizab antarabangsa kita?

“Kalau ya, cakap la, dan bersedia pertahankan idea itu. Kalau setakat kata ringgit susut, tapi tidak ada kesedaran punca jauh sekali idea, apa guna?

“Kadar faedah di Amerika Syarikat naik dengan cepat. Kalau Malaysia ambil tindakan lebih agresif, ringgit berkemungkinan kukuh sedikit tetapi rakyat akan berdepan dengan kadar bayaran hutang yang lebih tinggi. Muhyiddin hendak minta OPR naik berapa peratus?,” soalnya lagi.

Beliau turut menjawab dakwaan Pengerusi MPN itu kononnya ada rakyat yang lambat bayar hutang atau ikat perut.

Katanya, sememangnya ada rakyat yang sedang susah dan memang PKS yang susah, tetapi lihat usaha yang dibuat dalam Bajet 2022 ialah memperkenalkan pinjaman tanpa faedah dan pinjaman dengan moratorium enam bulan dalam Semarak Niaga.

“Datuk Seri Ismail pernah menyeru kepada institusi kewangan untuk tidak ambil tindakan terhadap mana-mana PKS yang gagal bayar balik pinjaman, malah, Bank Rakyat dan SME Bank antara institusi perbankan yang tidak mengambil apa-apa tindakan.

“Di zaman Muhyiddin seolah-olah tidak ada yang ikat perut? Adakah kita lupa apa yang telah berlaku? Ramai tidak mampu membeli keperluan asas sehingga rakyat minta bantuan dengan mengangkat bendera putih. Yang itu apa pula komen Muhyiddin?” soalnya.- MalaysiaGazette