Jefferey (tengah) menyampaikan sumbangan YBR kepada seorang daripada 30 murid dan pelajar dalam Parlimen Putatan.

PUTATAN – Seramai 300 pelajar dari keluarga B40 dan asnaf dalam Parlimen Putatan di sini, menerima bantuan persekolahan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Bantuan berjumlah kira-kira RM30,000 bagi meringankan beban keluarga untuk membeli peralatan sekolah sempena sesi persekolahan penggal kedua tahun ini.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor, pihaknya menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Kasih Komuniti Sabah (COTERIE).

Katanya, misi YBR ialah membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan terutama asnaf, masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pendidikan yang baik.

“Kita harap, melalui inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dalam mengharungi pasca pandemik Covid-19 yang telah melanda di seluruh negara.

Jefferey bersama barisan kepimpinan YBR bersama murid, pelajar dan ibu bapa dalam majlis penyerahan bantuan YBR di Putatan.

“Inisiatif bantuan pendidikan ini diharap menjadi pendorong kepada organisasi lain untuk turut sama membantu tanpa mengira bentuk dan membuktikan badan korporat mengambil berat golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian bantuan YBR di Balai Raya Kampung Tanjung Aru Lama, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pemimpin Pemaju Masyarakat N22 Tanjung Aru, Mohamad Ridhuan Aklee.

Kata Jefferey, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai RM100 setiap pelajar itu diberikan bagi persiapan persekolahan.

Katanya, setakat ini seramai 26,502 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan telah dibelanjakan sebanyak RM3 juta. – MalaysiaGazette