Program B40 UPU2U 2022 Zon Pahang mendapat sambutan baik lebih daripada 1,000 pelajar dijalankan di UMP Gambang, semalam.

KUANTAN – Lebih 1,000 pelajar sekolah berpeluang menyertai Program B40 UPU2U 2022 Zon Pahang anjuran Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA JPT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin berkata, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA atau UPU menyediakan laluan khas dalam kemasukan ke IPTA.

Program yang memberikan pendedahan dan pemahaman khusus kepada semua golongan terutamanya kelompok B40 yang menghadapi kesukaran mengakses maklumat secara dalam talian mendapat sambutan baik daripada pelajar.

“Mereka yang hadir ke program ini turut berpeluang mendapatkan maklumat terperinci mengenai cara mengisi ‘UPU Online’ dan menggunakan kembali kefahaman tersebut bagi mengisi permohonan kemasukan ke universiti kelak.

“Antara golongan yang terlibat ialah anak-anak Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), atlet dan anak-anak kumpulan berpendapatan B40.

Jelasnya, calon UPUOnline dalam kumpulan ini tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana, dan hanya perlu menepati syarat am dan khas yang ditetapkan oleh institusi dan akan disaring dalam kelompok masing-masing sahaja.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr Mohd Rosli Hainin

Pihak UMP sentiasa membantu pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM terutama golongan B40 untuk menyambung pelajaran sekaligus mengelakkan berlakunya keciciran dalam kalangan mereka ini.

Justeru Program UPU2U ini bukan sahaja memfokuskan golongan B40, malah ia diperluaskan untuk golongan orang asli dan sebanyak 10 lokasi telah ditetapkan di seluruh Malaysia bermula September hingga Mac 2023. – MalaysiaGazette