Penguat kuasa KPDNHEP menyerbu dua premis menjual android box di sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang dan membuat dua tangkapan. Ihsan KPDNHEP.

KUALA LUMPUR – Dua buah premis di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini yang menjual alat teknologi penstriman (android box) diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan pada 15 September lalu hasil maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang dilakukan oleh pihaknya selama beberapa hari sebelum itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua premis terbabit, kami telah merampas sebanyak 11 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya oleh pemilik hak cipta yang membuat aduan kepada kementerian dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,500.

“Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan dua individu lelaki warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis yang terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

Jika sabit kesalahan pihak terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Pihak KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu.

“Ia memberi penekanan dalam usaha pihak kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan.

“Pihak kementerian juga ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini dan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi,” tegasnya. – MalaysiaGazette