Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Traveloka Malaysia yakin dengan prospek industri pelancongan yang disokong oleh permintaan terpendam perjalanan domestik dan antarabangsa.

Pengurus negara Traveloka Malaysia Angelica Chan berkata, keyakinan itu berdasarkan carian melalui aplikasi super pengembaraannya, mendapati orang ramai ingin melancong dan berhubung dengan orang tersayang menjelang akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Beliau berkata, Traveloka akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pemain industri dalam menggerakkan inisiatif bagi pemulihan industri pelancongan Malaysia, yang akan memberi manfaat kepada pengguna.

Katanya, Traveloka Malaysia berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), oleh itu, pengguna boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk pelancongan tempatan.

“Pada ketika ini, tumpuan kami adalah untuk terus berinteraksi dengan pengguna dan operator sedia ada kami, serta mengembangkan pangkalan mereka untuk menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan.

“Kami juga sedang mengkaji untuk menjalin hubungan yang lebih baik dengan kerajaan, MOTAC dan agensi berkaitan sambil mengembangkan produk dan perkhidmatan kami,” katanya kepada Bernama.

Walaupun dengan tekanan inflasi semasa, Chan berkata, Traveloka akan memastikan harga adalah mampu milik supaya pengguna dapat meneruskan perjalanan sambil menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan.

Ditanya sama ada kejatuhan nilai ringgit akan melemahkan prospek, beliau berkata, impaknya masih terkawal kerana corak perjalanan berubah mengikut situasi mata wang tempatan.

“Orang ramai akan cenderung melancong dalam negara atau menyasarkan ke negara jiran yang kurang memberi kesan dari segi kuasa perbelanjaan mereka.

“Pengguna juga boleh membuat tempahan ke negara dengan pilihan memilih penerbangan berbeza untuk ketibaan dan pelepasan, berdasarkan masa yang sesuai dan harga yang berpatutan,” katanya.

Traveloka, yang bermula tujuh tahun lepas, telah berkembang secara berperingkat daripada sekadar menyediakan hotel, kepada penerbangan, tarikan, aktiviti dan perkhidmatan.

Berkongsi lebih lanjut mengenai tinjauan yang dijalankan oleh Traveloka pada April 2022, beliau menyatakan bahawa pelanggan yang menempah melalui aplikasi super pengembaraan itu cenderung terdiri daripada golongan milenial antara 20 dan 40 tahun, manakala lebih daripada 50 peratus pembuat keputusan adalah wanita.

“Kami juga mendapati bahawa banyak perjalanan kini berasaskan keluarga dan 80 peratus daripada mereka membuat tempahan dalam talian, perubahan besar berbanding tempoh sebelum pandemik,” katanya. – BERNAMA