Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus didesak supaya mendedahkan 19 perkara penting yang ditemui oleh Pasukan Petugas Khas berkaitan buku yang ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hampir sebulan lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ada menyebut 19 perkara penting ditemui dalam buku Justice In The Wilderness yang ditulis Thomas.

“Pada awal Februari 2021 ratusan laporan polis telah dibuat terhadap Tommy Thomas dan bukunya. Pada 29 Ogos 2022 Menteri di JPM sebut ada 19 perkara penting ditemui oleh Pasukan Petugas Khas. Maka diminta kerajaan dedahkan segera apakah 19 perkara itu kepada rakyat,” ciap Ahmad di Twitter.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menunjukkan laporan polis mengenai Buku Memoir Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2021.

Beliau pada 6 Februari lalu telah membuat laporan polis terhadap penerbitan buku itu yang didakwa memesong sejarah negara dan memperlekeh Jabatan Peguam Negara.

Ahmad mendakwa penulisan berhubung Peristiwa 13 Mei 1969 dan Tun Abdul Razak yang terkandung dalam buku itu berbaur hasutan dan berniat jahat serta boleh menimbulkan kebencian terhadap pentadbiran negara.

Media sebelum ini melaporkan  Wan Junaidi berkata, laporan akhir PPK telah mengenal pasti 19 isu penting dalam buku Tommy yang memerlukan perhatian kerajaan.

Wan Junaidi dalam kenyataan pada 29 Ogos memaklumkan, laporan akhir PPK yang mengkaji dakwaan dalam buku itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan seterusnya.

“Laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan. Dalam hal ini, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan bukan kerajaan dan individu.

“Laporan ini telah disediakan oleh PPK dalam tempoh sembilan bulan iaitu dari Disember 2021 hingga Ogos 2022,” katanya dalam kenyataan itu.

PPK dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin.

Turut menganggotai PPK bekas hakim dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jagjit Singh Bant Singh; peguam, Datuk Shaharudin Ali dan K.Balaguru serta wakil kerajaan, Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

Pada 7 Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah menerima 134 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah.

Susulan itu, PDRM membuka tiga kertas siasatan susulan tiga laporan daripada keseluruhan laporan polis yang diterima di seluruh negara.- MalaysiaGazette