KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung satu insiden pergaduhan yang berlaku dalam aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang dihubungi berkata, pihaknya memulakan siasatan selepas menerima satu laporan berkaitan kejadian pergaduhan tersebut.
“Siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu tercetus selepas salah seorang pemain dilayangkan kad merah dan tindakan itu telah mengakibatkan salah seorang individu dipercayai pegawai salah satu pasukan terlibat tidak berpuas hati sebelum berlaku kekecohan.
“Permainan kemudian dihentikan untuk seketika dan kekecohan itu akhirnya berjaya dikawal sebelum permainan bola sepak disambung semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, tambah Mohd Iqbal, siasatan lanjut terhadap insiden pergaduhan itu masih sedang dijalankan.
“Kita akan lengkapkan kertas siasatannya dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dalam kes ini.
“Setakat ini, polis memanggil beberapa individu untuk tampil bagi membolehkan mereka diambil keterangan antaranya melibatkan barisan kejurulatihan, pengadil dan petugas perlawanan tersebut semasa kejadian.
“Pada masa yang sama, polis juga ingin menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam mana-mana pertandingan agar tidak beremosi ketika sesuatu perlawanan bagi mengelak tercetusnya sebarang bentuk provokasi dan kekecohan yang seterusnya menjejaskan perlawanan yang berlangsung,” katanya.
Dalam kejadian pada semalam, kekecohan tercetus dalam perlawanan bola sepak SUKMA membabitkan Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Stadium Mini UiTM selepas seorang pemain dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: