Tangkap layar menunjukkan seekor lembu berkeliaran tanpa pengawasan penternak di Pasar Awam Ayer Itam, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Penternak lembu di Pulau Pinang yang gagal memastikan haiwan ternakan mereka berada dalam pengawasan berdepan tindakan sita dan lelong.

Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, MBPP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menangkap, menyita dan melelong lembu berkenaan sekiranya pemilik haiwan itu membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa pengawasan hingga menggugat keselamatan orang awam.

“Isu lembu berkeliaran di tempat awam tanpa pengawasan daripada penternak semakin serius kini dan kita juga menerima aduan mengenai insiden tersebut di beberapa kawasan sekitar negeri ini termasuk di Ayer Itam.

Kehadiran lembu di tempat awam menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.

“Sehubungan itu, MBPP ingin memberi nasihat dan amaran kepada semua penternak agar melakukan pengawasan terhadap ternakan masing-masing bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

“Kita akan menangkap, menyita dan melelong lembu berkenaan sekiranya dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan bagi mengelak masalah keselamatan dan kacau ganggu kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Minggu lalu, orang awam termasuk pemilik gerai makanan di Pasar Awam Ayer Itam dikejutkan dengan kehadiran seekor lembu bersaiz ‘sado’.

Pengguna jalan raya juga berdepan risiko susulan haiwan ternakan itu berkeliaran di jalan raya.

Kehadiran lembu itu bukan saja menakutkan orang awam malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya susulan ia berkeliaran hingga ke jalan raya. – MalaysiaGazette