PETALING JAYA – Setelah melalui kebangkitan yang sempurna sebelum ini, Sri Pahang FC kembali diburu keresahan terhadap prestasi yang tampak kurang konsisten selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.
Menurut ketua jurulatih Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh, dia mahu pasukannya kembali bangkit menjelang baki empat perlawanan terakhir Liga Super bagi membina keyakinan sebelum bersaing di TM Piala Malaysia 2022.
Justeru, beliau mengharapkan tempoh rehat selama tiga minggu ini mampu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menaikkan semula moral dan semangat para pemain.
“Sepanjang tempoh rehat menjelang perlawanan seterusnya lebih kurang seminggu lagi, kami giat menjalankan beberapa perlawanan persahabatan bagi memperbaiki kelemahan termasuk berdepan Terengganu, 27 September ini.
“Saya tidak nafikan momentum pasukan sedikit terganggu apabila tewas kepada Terengganu dan Kuala Lumpur City, jadi saya harap kami mampu kembali berada di tahap terbaik sebelum perlawanan dengan Sarawak United.
“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu dari segi kedudukan terakhir Liga Super yang boleh menjadi penentu cabaran kami di Piala Malaysia.
“Apa yang lebih mustahak adalah pasukan kami boleh perbaiki persembahan dalam empat baki terakhir Liga Super sebelum kami bermain di Piala Malaysia,” katanya.
Menduduki tempat ketujuh, Sri Pahang yang meraih 21 mata, sedang dicabar hebat Selangor dan PJ City untuk mengekalkan tempat dalam kumpulan pilihan kedua(kedudukan 5-8 Liga Super) untuk undian TM Piala Malaysia.
Namun, mereka dijangka berdepan ranjau kerana selepas berdepan Sarawak United, Sri Pahang bakal berentap dengan tiga pasukan teratas Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim(JDT), Sabah FC dan Negeri Sembilan FC di laman sendiri.
Bagi Dollah, beliau lega semua pemainnya tidak lagi dibelenggu sebarang kecederaan termasuk Baqiuddin Shamsudin, yang sebelum ini tidak dapat beraksi kerana berdepan masalah peribadi.
“Semua pemain saya boleh bermain bagi perlawanan akan datang dan saya sudah punyai banyak pilihan untuk digunakan bagi kesebelasan utama.
“Baqiuddin tidak dapat berikan komitmen ekoran anaknya kurang sihat dan itu menjadi punca dia tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Kini kesihatan anaknya sudah beransur baik dan sudah mula bersama pasukan, kehadirannya sangat penting bagi menambah sengat di barisan serangan,” katanya. – MalaysiaGazette