KAJANG – Setahun setengah tinggal di pondok berdua dengan isteri tercinta, Jamal Khair Othman tidak menyangka kedaifan hidup mereka mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS), pada hari ini.
Warga emas berusia 60 tahun itu berkata, tidak lagi bekerja sebagai kontraktor sejak pandemik Covid-19 bermula membuatkannya hilang punca pendapatan.
Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk tidak lagi menyewa kediaman lamanya di kawasan berdekatan di Bandar Bukit Mahkota, seterusnya membina sendiri pondok untuknya dan isteri tercinta, Kalsom Maulud, 70, berteduh.
“Saya pindah sebab saya sudah tidak ada pendapatan seperti sebelum ini iaitu kontraktor, terlalu lama menyewa di kediaman lama sebelum ini di kawasan berdekatan,” katanya ketika ditemui menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) hari ini.
Jelas beliau, duit simpanan dan hasilnya berkebun di tanah berdekatan pondok adalah talian hayatnya bersama isteri setiap hari.
“Perlahan-lahan saya usahakan tanah di kawasan ini dengan tanaman pokok pisang,” ujarnya.
Menjadi antara lebih kurang 45 asnaf baharu yang dibantu pada hari ini, Jamal Khair mengucapkap terima kasih kepada LZS kerana sanggup turun padang membantu golongan memerlukan sepertinya.
“Terima kasih LZS kerana bantuan ini. Saya pun tidak sangka sampai sebegini besar perhatian dan datang ke sini hari ini cari saya beri bantuan saya amat berterima kasih,” tambah beliau.
Selain mendapat bantuan kewangan dan makanan setiap bulan daripada LZS, Jamal Khair turut dibantu mendapatkan rumah sewa baharu. – MalaysiaGazette