Bukit Aman tidak mengesan sebarang kesalahan dilakukan Teo Boon Ching di negara ini yang telah diekstradisi dari Thailand ke Amerika Syarikat (AS) kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia mengeluarkan amaran keras kepada orang ramai yang menyebarkan berita palsu mengenai kegiatan penculikan kanak-kanak untuk tujuan penjualan organ.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, pihaknya telah mengesan sebaran mesej palsu di media sosial meminta masyarakat berwaspada berkaitan kejadian penculikan melibatkan sekumpulan kanak-kanak.

“Kanak-kanak ini dikatakan diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap bagi memudahkan mereka dilarikan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.

“Mesej tersebut juga mendakwa kononnya pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam orang kanak-kanak,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semakan teliti PDRM mendapati mesej palsu tersebut telah ditularkan sejak tahun 2017 lagi dan kembali diulang siar semula di beberapa platform media sosial sejak kebelakangan ini.

PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa dalam mesej tular di media sosial itu.

“Sehubungan itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah percaya danĀ  menyebarkan berita-berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan sebarang berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” tegasnya. – MalaysiaGazette