Datuk Razalif (tengah) menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Persatuan Kebajikan Eng Siew Kee bersama Brother Kita di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Mohd Zain kini sedang mengintai peluang bertanding kerusi Parlimen Bukit Bendera pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan untuk bertanding di parlimen berkenaan atas tiket Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) itu belum dimuktamatkan susulan perlu mendapat restu daripada Presidennya, Tan Sri M. Kayveas.

“Saya intai dan risik dahulu sekiranya semua semua tiada masalah kita akan ijab kabul (muktamatkan keputusan) untuk bertanding di kerusi Bukit Bendera itu.

Razalif.

“Buat masa ini kenapa saya pilih Bukit Bendera kerana saya anak tempatan di situ selain kerja-kerja untuk bertanding di kawasan itu dilakukan sejak 2018 termasuk menyantuni penduduk di sana.

“Saya pasti akan bertanding di Pulau Pinang pada PRU15 ini dan memilih kawasan majoriti bukan Melayu kerana saya percaya rakyat di negeri ini sudah ‘masak’ dengan cara pentadbiran DAP,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Persatuan Kebajikan Eng Siew Kee bersama Brother Kita di Setia Spice Arena di sini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 2,300 individu itu turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan RM50,000 bagi membantu pembiayaan pengurusan mayat bukan Islam di negeri ini.

Turut hadir Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas.

Mengulas lanjut Razalif berkata, sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) belum memberi keputusan mengenai kepimpinan parti itu sehingga tarikh PRU beliau akan bertanding atas tiket parti lain.

“Parti mana kita (MyPPP) akan cenderung nanti kita serah kepada presiden serta setiausaha parti untuk menentukannya yang pasti MyPPP akan bertanding pada PRU15 nanti,” jelas beliau.

Sementara itu, ketika diminta mengulas adakah pengundi di sini sedia menerima pemimpin selain DAP, bekas Ketua Armada Cawangan Sea View Park itu berkata, dalam keadaan politik terkini tiada mana-mana yang boleh memperoleh kemenangan majoriti.

“Buat masa ini saya yakin dapat sokongan daripada penduduk setempat tanpa mengira kaum. Malah, bukan semua orang sini sokong DAP ada yg tak sokong. Malah, ada juga janji  DAP yang tidak dikotakan kepada rakyat negeri ini.

“Saya tak mau backstep mana-mana parti biar rakyat buat pilihan sama ada kita layak atau tidak untuk memang pada PRU15 ini.

“Apa yang kita perlu fokus adalah melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan jika rakyat rasa kita berhak dapat undian daripada mereka semestinya PRU kali ini akan mencatatkan sejarah baru,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan