Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada Rahayu Mohamed (kiri) pada Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan “Growth Enterpreneurship Assistance Programme (GRAP) di Menara MBSB Bank, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 27 SEPTEMBER 2022.

PETALING JAYA – Seramai 23 orang daripada golongan B40 hari ini tamat latihan program Growth Entrepreneurship Assistance (GRAP) yang dikendalikan oleh MBSB Bank Berhad.

Daripada 23 orang peserta berkenaan, 80 peratus daripadanya merupakan wanita termasuk ibu tunggal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib, program tersebut berjaya memberi ilmu kepada golongan B40 untuk mengembangkan perniagaan mereka ketika pasca pandemik ini.

“Kita rasa ini program penting daripada kita memberi sejumlah wang tapi kita ambil pendekatan berbeza memberi ilmu supaya mereka boleh terus stabil dan kembangkan perniagaan,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan Sijil Penyertaan GRAP.

Beliau berkata, hasil latihan GRAP selama tujuh bulan ternyata mampu melipat gandakan pendapatan peserta-pesertanya.

“Hasil daripada program ini sungguh memberangsangkan Insya-Allah mungkin kita akan adakan lagi,” tambah beliau.

Tidak hanya berakhir di sini, Nor Azam berharap peserta GRAP akan membantu golongan B40 lain dengan berkongsi ilmu perniagaan yang seiring dengan keperluan semasa agar dapat membantu lebih ramai usahawan kecil pada masa akan datang.

“Selanjutnya, program ini berakhir hari ini tetapi kita ada program susulan. Dapatkan idea bagaimana mereka nak kembangkan perniagaan mereka MBSB akan terus bantu untuk mereka terus maju dalam sektor perniagaan sendiri seperti makanan dan banyak lagi,” katanya.

GRAP merupakan program untuk mengupayakan usahawan kecil yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat MBSB Bank.

Objektif program berkenaan adalah untuk memperkasakan ekonomi komuniti B40 menerusi peningkatan dan pengurusan perniagaan bagi membolehkan penjanaan pendapatan mampan.

Program tersebut bermula pada Februari yang lalu sehingga Ogos disertai oleh 23 peserta terdiri daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak. – MalaysiaGazette