Kesemua nelayan Indonesia itu ditahan ketika sedang menangkap ikan di perairan negara di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan sebuah bot nelayan Indonesia menceroboh perairan negara membawa padah selepas ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang.

Bot yang dinaiki lima individu itu ditahan oleh KM SIKUATI semasa melakukan rondaan Op Tanjung di kedudukan 52 kilometer barat daya Pulau Kendi pada jam 4.10 petang semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Abd Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara itu dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun.

Nelayan bawah umur antara tiga diberkas.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Malah, tiga daripada kru juga didapati masih di bawah umur,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, bot bersama kru termasuk tekong dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) kerana memperdagangkan kanak-kanak,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Abd Razak berkata, ini merupakan tangkapan kedua membabitkan bot nelayan Indonesia pada bulan ini di perairan Pulau Pinang.

“Tangkapan pertama adalah pada 14 September oleh KM NYALAU sekitar 94 kilometer barat daya Pulau Kendi,” jelas beliau. – MalaysiaGazette