Sutharshanan (tengah) didakwa atas kesalahan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bekas eksekutif jualan sebuah syarikat produk makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan pecah amanah duit syarikat lebih RM23,000 antara Fabruari hingga Ogos lalu.

Tertuduh, R. Sutharshanan, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, eksekutif jualan syarikat Cap Keluarga Sales & Services Sdn. Bhd. itu telah melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM23,704.40.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan yang berpangkalan di  Seberang Perai Tengah  antara 17 Februari hingga 8 Ogos lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun, dengan sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada  31 Oktober depan. – MalaysiaGazette