Gambar hiasan

PENGUMUMAN Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam sidang media selepas merasmikan 25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference di Johor Bahru baru-baru ini, sudah tentu memberikan khabar gembira buat semua jururawat di Malaysia.

Dalam sidang media tersebut, Khairy Jamaluddin mengumumkan tiga berita utama iaitu pelantikan berstatus tetap kepada jururawat yang berkhidmat secara kontrak, kenaikan pangkat jururawat dengan Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan pewujudan jawatan fleksi skim jururawat.

Secara keseluruhannya, kita boleh melihat anjakan dari segi perjawatan ini memberikan pengiktirafan bagi jururawat yang telah sekian lama mengharapkan imbalan yang wajar dengan usaha mereka untuk menyambung pengajian. Ini membuktikan, kemajuan sesuatu bidang atau profesion, dipacu oleh transformasi dalam sistem pendidikannya.

Walaupun terdapat perubahan positif sebagai “tendangan mula” kepada anjakan-anjakan yang lain, kita sentiasa mengharapkan profesion kejururawatan di Malaysia diberikan lebih ruang untuk berada di posisi yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan profesion yang lain serta seiring dengan saranan-saranan utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Anjakan pendidikan pengkhususan kepakaran kejururawatan untuk jururawat berijazah

Bagi jururawat yang telah menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan sebagai pengajian asas, pada ketika ini, mereka akan diberi pilihan untuk membuat pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu melalui kursus yang ditawarkan baik institusi awam mahupun swasta.

Walau bagaimanapun, kursus-kursus tersebut masih lagi di peringkat sijil (Tahap 0 Malaysia Qualification Framework (MQF)) dan diploma lanjutan (Tahap 5 MQF) manakala Ijazah Sarjana Muda pula berada pada Tahap 6 MQF.

Seyogia dicadangkan agar kursus-kursus pengkhususan ini dinaiktaraf kepada kursus kepakaran sijil pascasiswazah (postgraduate certificate) atau diploma pascasiswazah (postgraduate diploma) yang berada pada Tahap 7 MQF.

Pemajuan tahap pendidikan secara vertikal ini wajar dilaksanakan untuk memastikan kepakaran jururawat sentiasa progresif, semasa, dan diiktiraf.

Pengiktirafan buat lulusan ijazah sarjana muda kejururawatan

Berbeza dengan sektor tertentu dalam bidang kesihatan yang mengalami ketepuan perjawatan seperti yang dibincangkan di Parlimen beberapa bulan yang lepas, seperti mana yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan dalam sidang media tersebut, sektor kejururawatan masih mengalami kekurangan tenaga jururawat yang boleh menyebabkan penyampaian perkhidmatan kesihatan terjejas.

Sekiranya proses kenaikan pangkat dan pengiktirafan untuk jururawat berijazah ini diteruskan, ia semestinya akan memberikan beberapa implikasi yang positif.

Pertama, dengan memberikan ruang perjawatan untuk jururawat berijazah (U41) yang lebih banyak di Kementerian Kesihatan, graduan baru lepasan Ijazah Sarjana Muda berpeluang mencurah bakti kembali kepada masyarakat dengan perjawatan dan gaji yang setimpal. Lebih banyak perjawatan U41/42 membawa konotasi peningkatan peranan dan tanggungjawab pengurusan kesihatan untuk jururawat di negara kita.

Kedua, perkara ini sudah tentu dapat mengekang pengaliran aset intelek kejururawatan ke luar negara. Hal ini disebabkan, negara maju seperti Singapura memberikan perhatian dan pengrekrutan yang serius kepada pelajar jururawat yang cemerlang di Universiti dalam negara, bahkan sejak mereka berada di Tahun 1 pengajian lagi. Bukan sahaja tawaran gaji yang lebih lumayan, jururawat yang menimba pengalaman di sana berpeluang merasai ekosistem pekerjaan yang lebih positif dan termaju.

Pengaliran keluar aset intelek (jururawat berijazah cemerlang) ini sudah tentu satu kerugian besar kepada negara dari segi sumbangan kepakaran dan kepimpinan kejururawatan di Malaysia, yang sepatutnya memacu sektor ini ke arah yang lebih baik.

Ketiga, anjakkan perjawatan ini akan merubah iklim pendidikan kejururawatan. Jururawat yang mempunyai kelayakan diploma akan lebih termotivasi untuk menyambung pengajian mereka kerana peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah. Kini, peluang untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda terbuka luas di mana-mana institusi awam dan swasta. Mereka boleh memilih untuk mengikuti secara separuh masa, sekiranya terdapat kekangan untuk bercuti.

Implikasi positif penjumudan jawatan jururawat dengan sijil

Antara perkara utama yang diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan juga adalah berkaitan penjumudan jawatan jururawat masyarakat. Umum mengetahui, jururawat masyarakat adalah jururawat yang telah menjalani latihan kejururawatan dan mendapat pengiktirafan kelayakan Sijil Jururawat Masyarakat dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia dan Lembaga Bidan Malaysia.

Dengan penjumudan perjawatan ini, profesion kejururawatan akan bertambah baik dari segi kelayakan minimum akademiknya seterusnya akan memastikan proses kawalan kualiti profesion ini menjadi lebih baik.

Walaupun sukar untuk dilaksanakan, namun, agar profesion ini setaraf dengan negara sekitarnya yang mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda, sektor kejururawatan di Malaysia perlu mengambil langkah yang serupa. Pertimbangan juga harus diberikan agar jururawat mudah untuk mengikuti pengajian kejururawatan seperti mana yang saya nyatakan di atas.

Akhirnya, masyarakat sebagai penerima perkhidmatan akan menilai kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Kita percaya, taraf pendidikan akan merubah kualiti perkhidmatan kejururawatan di Malaysia.

Oleh: Mohammed Rasheedan bin Ellin
Ketua Sektor Kejururawatan
I-Medik

 

Dr. Muhammad Kamil bin Che Hasan
Dekan Kuliyyah of Nursing
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia