MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin akan menghadiri majlis penyertaan wilayah Ukraine ke dalam Rusia esok, kata jurucakap Kremlin.
Bercakap kepada wartawan pada taklimat media di Moscow, Dmitry Peskov berkata, Putin akan menemui pihak berkuasa puak pemisah Ukraine yang merangkumi Donetsk, Luhansk, Kherson serta Zaporizhzhia dan menandatangani perjanjian untuk menyertai Rusia, disusuli majlis penyertaan itu.
Majlis tersebut akan berlangsung pada jam 3 petang waktu tempatan di Kremlin dan perjanjian itu akan ditandatangani semua empat wilayah di mana referendum diadakan sebelum ini, kata Peskov, seperti dipetik agensi berita, Anadolu.
Menurut Kementerian Luar Rusia, dalam referendum yang diadakan itu lebih 98 peratus pengundi di Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia memilih untuk menyertai Rusia.
Undian tersebut mendapat kecaman masyarakat antarabangsa dengan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat menyifatkannya sebagai satu muslihat dan berkata, mereka tidak akan mengiktirafnya. – Agensi