Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang diculik dan dibawa ke Thailand diselamatkan hasil bantuan pihak berkuasa negara jiran itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ejen jualan produk kosmetik yang diculik pada 13 September lalu di Tumpat, Kelantan telah dibawa pulang ke Malaysia hari ini.

“Melalui siasatan serta kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan telah berjaya menjejaki serta mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam insiden itu, wanita berusia 36 tahun itu diculik oleh empat individu dengan menggunakan kereta Toyota Vios di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat, Kelantan.

Berikutan insiden penculikan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menubuhkan satu Pasukan Khas merangkumi aspek siasatan dan operasi.

Menurut Acryl Sani, dalam kes ini seramai tujuh orang suspek lelaki warga tempatan telah ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Tambah beliau, penahanan kesemua suspek itu membawa kepada rampasan sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa.

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan Kedutaan Malaysia di Thailand, atas kerjasama serta bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa culik dalam kes ini.

“PDRM juga menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazette