Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan agar bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas disiasat ekoran tulisannya yang kontroversi dalam buku My Story: Justice in the Wilderness memang tepat.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, Tommy telah menuduh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai dalang tragedi 13 Mei 1969.

“Langsung tidak bertanggungjawab dan menyentuh perkara sensitif tanpa bukti langsung. Hanya menulis seumpama cytro upahan. Bukankah ini wajar disiasat?” soalnya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan petugas khas telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.

Shahril menambah, Tommy mendedahkan perkara yang sepatutnya menjadi rahsia tetapi dibongkar dan ditelanjangkan dengan tafsiran-tafsiran peribadi tertentu.

Menurut beliau, hubungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, soal perjumpaan dalam Istana Negara, soal perbualan antara Tommy dan Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri interim, semua yang sepatutnya sulit diceritakan secara terbuka.

“Inikah standard bekas Peguam Negara?” soalnya lagi.

Shahril memberitahu, pada muka surat 342-343 buku itu, Tommy mendedahkan bahawa, dalam satu pertemuan, pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak adalah diputuskan oleh Dr Mahathir atas cadangan beliau yang “arif dengan semua hakim Mahkamah Persekutuan”.

“Bukankah lantikan ini semua di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman? Kenapa beliau seumpama memberi gambaran bahawa wujud campur tangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam lantikan hakim?” soalnya.

Beliau berkata, Tommy turut mengulas insiden yang mengakibatkan kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang mengatakan “kecederaan Adib adalah diakibatkan kenderaan bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib. Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit. Maka ia tidak disengajakan”.

Shahril menjelaskan, dakwaan itu dilihat sebagai sesuatu yang menyeleweng dan terpesong daripada fakta sebenar yang telah diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 bahawa Allahyarham Muhammad Adib dipukul sehingga mati.

Menurut beliau, perkara-perkara tersebut tidak boleh diambil dengan mudah kerana individu yang membuat tuduhan tersebut merupakan bekas Peguam Negara dan pendedahan beliau banyak mencalarkan institusi AGC.

Shahril turut mencadangkan agar laporan akhir pasukan petugas khas yang menyiasat buku Tommy didedahkan kepada umum sekiranya dibenarkan dan tidak mengandungi perkara sulit. – MalaysiaGazette