Wan Azlan Wan Mamat. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia semalam, yang disyaki terlibat dalam satu kes rompakan di sebuah rumah kedai di Taman Saujana, Puchong dekat sini, dua hari lepas, membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas berjumlah kira-kira RM76,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian pukul 4 petang Khamis, tiga lelaki memecah masuk rumah berkenaan sebelum bertindak menendang penghuninya iaitu seorang pelayan restoran warga Indonesia berusia 43 tahun.

Katanya, ketiga-tiga lelaki itu kemudian melarikan wang tunai berjumlah RM65,000 serta barang kemas bernilai kira-kira RM11,000 yang disimpan di dalam almari, dan mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 7.39 malam, hari yang sama.

Dalam kenyataan hari ini Wan Azlan berkata, semalam polis berjaya menahan seorang wanita yang merupakan rakan mangsa serta seorang lelaki di lokasi berasingan di Subang Jaya, kedua-duanya berumur sekitar 30-an hingga 40-an, dan hasil soal siasat kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM17,000 serta pelbagai jenis barang kemas disyaki hasil rompakan daripada kedua-dua suspek, dan polis sedang berusaha mengesan dua lagi lelaki yang identiti mereka belum dikenal pasti, bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan, dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta tampil menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah dengan menelefon 03-78627100 atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Anthony John Sandanadas di nombor 012-5043470.  – Bernama