Ahmad Zahid Hamidi kekalahan mutlak
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Serentak itu, Presiden UMNO meminta jentera UMNO di seluruh pelosok tanah air bersiap sedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka tidak lama lagi.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seluruh jentera UMNO perlu bergerak lebih pantas, kemas dan tersusun bagi memenuhi aspirasi rakyat mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

Menurut Zahid, hampir lima tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) negara berdepan dengan ketidakstabilan yang meruntuhkan segenap aspek dan kebaikannya, maka PRU-15 adalah peluang terbaik untuk memulihkan negara.

”Usah perlu menoleh lagi dan terus mara, kerana masa tidak akan menunggu waima seminit mahupun sesaat amat berharga untuk memastikan negara kembali ke landasan yang sebenar.

”Insya Allah segala ketetapan yang dibuat UMNO sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dengan penilaian dan perancangan yang rapi bagi sesebuah tindakan yang vital seperti PRU-15,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tegas beliau, segala dakyah, tohmahan dan propaganda musuh UMNO untuk menidakkan pentingnya PRU-15 diadakan tahun ini hanyalah satu bentuk alasan dan penciptaan persepsi yang berterusan bagi mengelak terpaksa berdepan penentuan kuasa rakyat.

Sedangkan, PRU-15 amat mustahak dilangsungkan sekarang untuk memastikan kerajaan yang lebih stabil, kukuh dan efisien dibentuk bagi membantu rakyat keseluruhan.

”PRU-15 amat mustahak diadakan bagi memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang berdaya untuk membentengi negara daripada impak kemelesatan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan.

”PRU-15 amat mustahak memastikan Kerajaan Persekutuan yang mentadbir negara tidak berdepan dengan tindakan sabotaj oleh musuh dalam selimut yang sentiasa berkepentingan politik.

”PRU-15 amat mustahak untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat dapat berjalan dengan lancar dan teratur secepat mungkin,” ujar beliau. – MalaysiaGazette