Pegawai TNB bersama keluarga mangsa.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang menyiasat kejadian dua beradik maut akibat terkena renjatan elektrik di perkarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi.

Menurut TNB, siasatan awal bagaimanapun mendapati tidak berlaku talian yang terputus daripada tiang TNB dan menimpa bumbung rumah mangsa seperti dakwaan pihak tertentu.

“Justeru, TNB meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai punca kejadian sehingga siasatan selesai sepenuhnya dan sebagai menghormati keluarga mangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu TNB telah menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan amat bersimpati atas kejadian menimpa kedua beradik yang dilaporkan sedang bermain air semasa terkena renjatan daripada kebocoran arus.

Syarikat utiliti itu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan dua anak lelaki berusia 10 dan 9 tahun itu. – MalaysiaGazette

Dua beradik lelaki maut terkena renjatan elektrik