KUALA LUMPUR – Formula yang digunakan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kajian yang mendapati kononnya sokongan orang Melayu terhadap UMNO jatuh sehingga 18 peratus diragui kesahihannya.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan dakwaan Rafizi itu sebagai ‘dahsyat’ kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Barisan Nasional (BN) meraih lebih 40 peratus undi Melayu.
Beliau berkata, data pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Sabah adalah lebih tepat berbanding semua formula badan pemikir atau formula Rafizi.
“Daripada Rafizi sibuk mendakwa sokongan Melayu terhadap UMNO jatuh, mungkin ada baiknya Pakatan Harapan (PH) kaji sokongan semua kaum termasuk bukan Melayu terhadap mereka.
“Sebagai contoh di Yong Peng, kerusi majoriti pengundi bukan Melayu. 58 peratus pengundi Cina, tujuh peratus pengundi India, 35 peratus pengundi Melayu. BN bukan sahaja menang kerusi tersebut tetapi tambah majoriti.
“Prestasi PKR pula bagaimana? Adakah rakyat menyokong PKR sepertimana dalam PRU-14 dulu? Apa data di PRN Sabah, Melaka, Johor?” tanyanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Dalam program Ayuh Malaysia semalam, Rafizi mendakwa penurunan sokongan orang Melayu terhadap UMNO menjadi sebab mengapa parti itu begitu terdesak untuk mengadakan PRU-15 lebih awal.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, tinjauan partinya baru-baru ini mendapati sokongan orang Melayu terhadap UMNO telah menurun daripada 27 peratus kepada 18 peratus.
Shahril menambah, UMNO dan BN juga melakukan kajian tetapi tidak pernah diumumkan kepada semua orang jauh sekali mendabik dada.
“Kerana kita akur keputusan pilihan raya adalah kuasa rakyat bukan mana-mana ahli politik. Sesuatu angka mampu naik dan turun mengikut peredaran masa,” jelasnya.
Beliau secara sinis memberitahu, mungkin formula Rafizi lebih hebat dari semua fakta tersebut.
“Jadi kita tunggu sahajalah suara rakyat yang akan menentukan PRU-15 nanti.
“UMNO dan BN sentiasa berwaspada dan menghormati hak rakyat memilih, dan tidak ghairah memperlekeh tahap kekuatan pihak lain,” katanya. – MalaysiaGazette