Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memastikan kedaulatan dan persempadanan maritim negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

Justeru, penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dipengerusikan mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sejak November tahun lalu merupakan bukti jelas komitmen tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pasukan itu telah selesai melaksanakan tugasan diamanahkan berdasarkan terma rujukan ditetapkan iaitu menumpukan  aspek perundangan dan hubungan antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, pasukan itu terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan sejak 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim dan wakil kementerian serta jabatan yang berkepentingan.

“Bagi maksud menjayakan tugasan sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan Pasukan Petugas Khas ini.

Tugasan mereka ialah meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan, mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Wan Junaidi seterusnya mengesahkan laporan akhir pasukan itu yang mengandungi syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober ini. – MalaysiaGazette