Presiden PBM
Larry Sng dan Zuraida kini masing-masing mengakui Presiden PBM.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng menegaskan bahawa beliau masih lagi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menurut beliau, laporan media bahawa Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin kini mengambil alih tempatnya adalah kurang tepat.

“Apa yang saya katakan adalah menjadi hasrat saya agar Zuraida memimpin PBM dan peralihan kuasa akan berlaku.

“Bagaimanapun, saya masih belum meletak jawatan sebagai Presiden PBM dan saya tidak akan meletak jawatan kerana pilihan raya umum (PRU) dikatakan semakin dekat,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Larry mengulas laporan sebuah portal semalam bahawa Zuraida disahkan sebagai Presiden PBM selepas mendapat sokongan sebulat suara perwakilan yang hadir Persidangan Agung Tahunan parti itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berperanan sebagai penyandang Presiden PBM selepas keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Mei lalu.

Semakan di Wikipedia mendapati maklumat yang tertera menyatakan Zuraida menyandang jawatan Presiden PBM mulai semalam.

Larry menambah, proses yang sewajarnya perlu dilakukan supaya penyerahan kuasa dapat disempurnakan.

“Sekiranya pilihan raya berlangsung sebelum peralihan kuasa selesai, saya yang akan menandantangani watikah calon pada PRU-15,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast