Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kira-kira sebulan dibebaskan dari penjara, dua lelaki ditahan polis kerana disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka di Klang pada Jumaat lalu.

Polis yang menerima aduan mengenai kejadian samun pada jam 3.35 pagi itu menahan kedua-dua suspek yang dibebaskan dari penjara pada 24 dan 30 Ogos lalu lalu atas kesalahan dadah pada jam 1.30 tengahari pada hari yang sama dalam dua serbuan berasingan di Pandamaran Jaya, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong berkata, dalam laporan yang diterima, pengadu yang sedang bekerja di sebuah kedai serbaneka di Taman Bayu Perdana, Klang nampak dua suspek lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan premis tersebut.

“Kemudian seorang suspek telah masuk ke dalam kedai dan seorang lagi menunggu di atas motosikal sebelum suspek mengambil 47 kotak rokok pelbagai jenis sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal yang sama.

“Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM700,” katanya dalam kenyataan sambil menambah suspek menjalani hukuman penjara selama enam bulan sebelum ini.

Tambah beliau, serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis rokok yang dilaporkan hilang beserta pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek memakai pelitup muka dan topi keledar semasa masuk ke dalam premis tersebut melalui pintu hadapan yang tidak berkunci dan suspek tidak menggunakan sebarang senjata semasa kejadian.

Menurut Hoong Fong, kedua-dua suspek yang berkenalan di dalam penjara telah direman selama lima hari bermula Sabtu lalu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Pihak polis juga masih menjalankan siasatan tentang berkemungkinan penglibatan suspek dalam kes-kes jenayah yang lain di daerah tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast