Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Temerloh mrmbuat pemeriksaan dan menemui kesan pencemaran cecair disyaki bahan kimia dari kawasan ladang sawit di Kampung Belenggu, Temerloh semalam.

KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Temerloh menemui kesan pencemaran cecair disyaki bahan kimia dari kawasan ladang sawit di Kampung Belenggu, Temerloh semalam.

Menerusi satu kenyataan, JAS telah menyiasat kes berkenaan dibawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Beberapa orang yang disyaki terlibat telah ditahan bersama dengan kenderaan yang digunakan manakala sampel telah diambil di lokasi dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa selanjutnya.

“Tindakan perundangan akan diambil setelah keputusan analisa kimia diterima,” katanya hari ini.

Dalam masa yang sama, JAS meminta orang awam untuk membuat sebarang aduan orang awam berkaitan kes-kes pencemaran alam sekitar boleh disalurkan di talian bebas tol 1800-88-2727.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi keyataan media sosialnya mengesahkan insiden pencemaran itu dikesan ekoran bau kuat dari kawasan ladang sawit berkenaan.

Beliau mengucapkan kasih kepada JAS cawangan Temerloh atas tindakan pantas mengesan serta menangani isu pencemaran berkenaan.

“Ucapan terima kasih juga kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh yang turut bekerjasama menangani kes ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan usul untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dijangka dibentangkan pada bulan Oktober ini.

“Ramai yang minta supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada penjenayah alam sekitar,” katanya ringkas.

Jelasnya tujuan pindaan itu adalah untuk meningkatkan hukuman, denda dan kompaun kepada penjenayah alam sekitar. – MalaysiaGazette