Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi dijangka jauh lebih tinggi sebanyak 10.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos sekiranya tiada subsidi disediakan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada tahun 2023, pakar ekonomi termasuk daripada pertubuhan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.

“Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, tidak terkecuali daripada terkena tempias daripada cabaran ini.

“Langkah-langkah untuk menangani cabaran-cabaran ini akan diperincikan dalam Bajet 2023,” katanya pada sesi pertanyaan lisan pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Mustapa berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak – BN) yang ingin tahu mengenai senario cabaran ekonomi dalam dan luar negara serta tindakan kerajaan menanganinya demi menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

Beliau yang turut mengulas pertanyaan Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi – Pejuang) yang bertanyakan mengenai kesan kejatuhan ringgit terhadap Bajet 2023 dan pembayaran hutang yang perlu dibayar oleh kerajaan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) menjelaskan, hutang langsung kerajaan tidak sampai lima peratus dalam dolar AS.

“Kebanyakan hutang kerajaan pusat adalah dalam ringgit Malaysia. Jadi kalau hutang langsung kerajaan pusat, kesannya kecil sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette