Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menyerahkan sumbangan faedah PERKESO kepada Nur Irwana Othman, 26 yang kehilangan suaminya Allahyarham Muhaimin Said, 34 merupakan penghantar makanan yang maut akibat dirempuh sebuah kenderaan ketika di Jalan Haji Musran, Rantau Panjang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 03 OKTOBER 2022.

KLANG – Seorang balu yang kehilangan suaminya, Allahyarham Muhaimin Said selepas terkorban dalam satu kemalangan pada 3 September lalu menerima dua bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Nur Izwana Othman, 26, menerima Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan untuk Akta 4 berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

“Selain itu, balu arwah juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837 sebulan yang akan dibayar seumur hidup.

“Waris juga menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 untuk sekali bayar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi Akta 789,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Zulhelmi Mansor.

Terdahulu Mohammed Azman menyerahkan kedua-dua faedah itu dan Kotak Prihatin PERKESO kepada balu arwah di kediamannya di Kampung Rantau Panjang hari ini.

Isteri, Nur Irwana Othman menunjukkan sumbangan faedah PERKESO yang diterima berikutan suaminya Allahyarham Muhaimin Said, 34 penghantar makanan maut akibat dirempuh sebuah kenderaan ketika di Jalan Haji Musran, Rantau Panjang, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 03 OKTOBER 2022.

Sebelum ini, Muhaimin, 34, terkorban akibat dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Haji Sirat, Meru di sini pada 3 September lalu.

Akibat rempuhan tersebut, Muhaimin dalam perjalanan untuk mengambil pesanan makanan pelanggan ketika itu disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan organ dalaman.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, kemalangan tragis itu menarik perhatian Skuad PERKESO Prihatin Klang yang bertindak proaktif dengan membuat semakan segera kelayakan arwah di bawah skim perlindungan keselamatan sosial.

“Semakan yang dibuat mendapati arwah Muhaimin pernah mencarum di bawah dua akta iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789).

“Bagi caruman SKSPS, arwah merupakan salah seorang daripada penerima insentif Kerajaan menerusi SPs Padanan Caruman (SPS Gig) di bawah Bajet 2022,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian sama, seorang lagi penghantar makanan dirempuh kenderaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kedua-dua belah kakinya tidak dilindungi PERKESO.

Selepas semakan dibuat, Muhammad Nazrul Mohd Nadzri, 29, yang menjalankan kerja penghantaran makanan secara separuh masa tidak mencarum dan dilindungi dengan SKSPS sekaligus tidak melayakkan beliau untuk menerima faedah-faedah PERKESO.

“Muhammad Nazrul yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampuan Rahimah, Klang sedang menunggu keputusan untuk dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

“Amat mendukacita dan menyedihkan dia tidak mendaftar dan tidak mencarum dengan PERKESO. Ini telah menyebabkan dia tidak layak dan tidak boleh untuk dibayar apa-apa pampasan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana individu yang bekerja sendiri agar segera mendaftar dan mencarum dengan PERKESO kerana ia bukan satu bebanan.

“Apa yang ingin kita tekankan, jika kita menyayangi keluarga kita, sama ada isteri, anak-anak atau pun ibu bapa kita, janganlah menganggap pendaftaran dan caruman PERKESO satu bebanan.

“Hari ini mungkin kita selamat, hari esok belum tentu, malang tidak berbau, jadi janganlah kita mengambil sambil lewa mengenai tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa kita mendaftar dan mencarum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast