Peti dokumen mengenai 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke mahkamah bagi prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tentang keterujaan kerajaan  Arab Saudi terhadap peranan serta jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menyebarkan Islam moden ke seluruh dunia.

Najib ketika menerajui pentadbiran Malaysia menjadi perhatian Arab Saudi kerana melaksanakan prisip Islam dengan memperkenalkan Malaysia ke mata dunia terutama selepas tragedi 9/11 yang telah mengubah tanggapan terhadap agama itu.

Hari ini, pasukan pembelaan Najib dalam prosiding pertuduhan penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh Najib membentangkan kepada mahkamah bagaimana Ahli Parlimen Pekan itu dijanjikan hadiah wang tunai RM1.17 bilion.

Dana itu telah dijanjikan kepada Najib oleh kerabat diraja Arab Saudi yang juga bekas Gabenor Provinsi Madinah, Abdulaziz bin Majid Al Saud.

Untuk makluman, MalaysiaGazette yang turut diberikan salinan surat menunjukkan bagaimana Abdulaziz menulis dirinya mengharapkan sebarang faedah peribadi malah ianya tidak boleh ditafsir sebagai rasuah kerana bercanggah dengan hukum Islam.

Kata surat itu dana berbilion tersebut hanya hadiah dan akan dimasukkan ke dalam akaun Najib pada bila-bila masa yang bersesuaian dan bekas perdana menteri itu  mempunyai budi bicara untuk menentukan bagaimana ia akan digunakan.

Peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohameed menunjukkan dua surat daripada Abdulaziz di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang sedang mendengar kes itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Surat pertama bertarikh 1 November 2011, menyatakan Abdulaziz berhasrat menghadiahkan wang tunai berjumlah AS$375 juta yang akan disalurkan daripada akaun peribadinya melalui akaun syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners Limited.

Surat pertama

Surat kedua pula yang bertarikh 1 Mac 2013 menyebut Abdulaziz akan menghadiahkan AS$800 juta daripada akaun peribadinya melalui akaun syarikat Tanore Finance Corp.

Wan Aizuddin ketika menyoal saksi ke-38 pendakwaan, iaitu Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat turut melontarkan soalan ada pihaknya melihat surat tersebut memandangkan tranksaksi kemasukan wang telah masuk ke akaun peribadi Ambank Najib.

Surat kedua

Bagaimanapun kata Wai Keat, dia tidak ingat seandainya pernah melihat surat seumpama itu.

Tetapi dakwa Wai Keat ada kemungkinan Pengurus Perhubungan Ambank ketika itu, Joanna Yu, menunjukkan kepadanya.

Jelas saksi itu, mungkin Joanna pernah memaklumkan adanya urus niaga transaksi itu adalah hadiah dengan lampiran surat yang disertakan bersama.

Minggu lepas, Wan Aizuddin turut menyoal saksi terdahulu yang ke-36, R Uma Devi sambil mencadangkan  adanya kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi ke dalam akaun peribadi Najib iaitu Ambank pada Mac dan April 2013.

Najib diberi AS$100 juta sebagai hadiah, boleh guna ikut budi bicaranya

Tetapi kata Uma Devi dirinya tidak pasti jika surat itu pernah diberikan kepada banknya sebelum transaksi-transaksi itu dilakukan.

Malah kata Uma Devi, setiap transaksi-transaksi juga melibatkan jumlah berbeza.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang. -MalaysiaGazette