Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri diiktiraf oleh kerabat diraja Arab Saudi dalam menerajui negara berbilang kaum sehingga memberikannya hadiah berupa wang AS$100 juta.

Najib didakwa menjadi perhatian Arab Saudi kerana melaksanakan prisip Islam dengan memperkenalkan Malaysia ke mata dunia terutama selepas tragedi 9/11 yang telah mengubah tanggapan masyarakat dunia terhadap agama itu.

Itu antara intipati yang dikemuka oleh pasukan pembelaan pada prosiding penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi oleh bekas perdana menteri itu.

Wang itu yang dikatakan sumbangan Gabenor Wilayah Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al Saud itu juga untuk Najib yang menjadi pemimpin Islam moden.

Malah wang itu didakwa hanyalah hadiah dan bukan bentuk rasuah serta ianya akan dimasukkan ke dalam akuan Najib pada bila-bila masa.

Sepucuk surat bertarikh Februari 2011 yang dialamatkan kepada Najib telah dikemukakan pembelaan di mahkamah.

Surat itu turut menyebut, hadiah itu bukanlah rasuah yang bercanggah dengan hukum Islam malah tidak ada apa-apa diharapkan melalui pemberian wang berkenaan.

Sebaliknya ianya patut menjadi penggalak kepada usaha memperkenalkan Islam ke seluruh dunia.

Surat itu juga telah ditunjukkan kepada saksi pendakwaan, R. Uma Devi oleh pembelaan sambil mencadangkan aanya kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi ke dalam akaun peribadi Najib iaitu Ambank pada Mac dan April 2013.

Pengurus AmBank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2022.

Peguambela, Wan Aizuddin Wan Mohammed turut mencadangkan kepada Uma Devi bahawa wang hadiah yang diberikan itu masuk ke dalam akuan berkenaan.

Bagaimanapun, kata Uma Devi, dirinya tidak pasti jika surat itu pernah diberikan kepada banknya sebelum transaksi-transaksi itu dilakukan.

Malah katanya, setiap transaksi-transaksi juga melibatkan jumlah berbeza.

Prosiding akan bersambung esok petang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang. -MalaysiaGazette