KUALA LUMPUR – DAP didakwa sudah hilang skil menjadi pembangkang kerana membangkang banyak perkara mengarut, melalut serta tidak masuk akal dalam usaha melengah-lengahkan Pilihan Raya Umum ke-15.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, beliau tergelak besar apabila Setiausaha Agong, Anthony Loke sanggup meminta rakyat Malaysia pasrah dengan kerajaan huru-hara sekarang sehingga penggal Parlimen tamat pada Mac depan.
Disebabkan itu, setiap hari Anthony dan rakan-rakan PH menakut-nakutkan rakyat dengan bahaya PRU semasa musim tengkujuh, manakala Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula ‘meratib’ menyalahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO kerana kejatuhan ringgit dan beban ditanggung rakyat.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu turut hairan bagaimana Anthony Loke masih mahukan kerajaan yang lemah dan kucar kacir sedangkan pada setiap PRU rakyat akan memilih parti untuk memerintah negara bukan individu macam negara republik seperti Amerika Syarikat.
Sikap Anthony ini sebenarnya mendedahkan kerisauan pemimpin PH kerana tahu rakyat sudah menolak mereka di PRU15.
DAP dan PH tahu kemarahan rakyat kepada mereka semasa menjadi kerajaan masih membara biarpun ia sudah berlalu sejak hampir lima tahun lalu.
Dakwa Nur Jazlan lagi, DAP dan PH belum bersedia untuk kembali menjadi pembangkang sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, lantaran itu seboleh-bolehnya mahu menangguhkan PRU15 supaya ada banyak masa untuk mereka cipta siri penipuan baharu, episod fitnah politik lebih canggih dan membina persepsi buruk kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).
”Perangai mereka ini macam penyakit withdrawal symptoms yang dihadapi bekas penagih dadah. Sikap ketagihan kuasa ini membuat mereka tak sanggup untuk hilang kuasa dan kembali semula kepada peranan pembangkang yang rakyat akan tentukan selepas PRU15 nanti.
”Sekarang ini mereka tak nak PRU tahun ini kerana alasan banjir walaupun musim tengkujuh bulan Disember ke Februari tapi helah mereka menggunakan isu pengurusan banjir yang sama untuk menghentam PM dari UMNO sekiranya PRU15 diadakan tahun depan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tempelak beliau, DAP dan PH menggunakan alasan kebajikan rakyat, musim tengkujuh dan kestabilan negara sebagai bahan provokasi terhadap PM serta UMNO supaya PRU15 dibuat tahun depan kerana suka mengguna perisai manusia untuk menghalalkan matlamat politik mereka.
DAP dan PH sanggup tipu rakyat untuk tangguh PRU dengan alasan banjir tapi banjir yang berlaku berkali-kali di Selangor tidak pula mereka besar-besarkan.
Nur Jazlan turut mengutuk DAP yang sengaja mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam politik semasa dengan cuba mencipta persepsi bahawa UMNO cuba menderhaka kepada institusi istana apabila mahu Parlimen dibubarkan segera dan PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
”Anthony mula petik nama YDP Agong, kononnya UMNO cuba melakukan tindakan yang membelakangkan baginda dalam hal pembubaran Parlimen.
”Wahai Anthony, cubalah baca elok-elok dan faham betul-betul kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan, kelmarin. Jangan pandai-pandai nak buat spekulasi dan mereka cerita fitnah kepada UMNO semata-mata sebab DAP/PH takut dengan PRU15 awal.
”Bila DAP nampak keadaan politik sekarang ada umpan untuk dipancing, tiba-tiba mereka pula mahu menjadi pembela institusi raja Melayu macam UMNO. Sebelum ini sudah banyak kali DAP/PH mempertikaikan kedaulatan raja-raja Melayu dalam kenyataan, tindakan mahupun manipulasi isu yang dibuat mereka,” dakwa beliau lagi. – MalaysiaGazette