Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd berkata kebelakangan ini berlaku peningkatan laporan berkaitan penipuan pelaburan dengan scammer (penipu dalam talian) didapati telah menyalahgunakan nama dan logo Bursa Malaysia serta mengaku sebagai kakitangan bursa tersebut.

Justeru, pengawal selia bursa saham itu menasihati orang ramai agar lebih berhati–hati apabila didekati oleh pihak yang mengaku mempunyai pengesahan daripada bursa atau sebagai kakitangannya dan hanya mengikuti saluran media sosial rasmi Bursa Malaysia.

“Bursa Malaysia menggesa orang ramai agar berhati-hati dan berwaspada dengan penipuan pelaburan dalam talian.

“Memandangkan peningkatan bilangan kes penipuan, para pelabur perlu mempunyai pengetahuan yang betul untuk membuat keputusan yang berdasarkan maklumat dan dapat mengenal pasti aktiviti penipuan dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam usaha untuk memastikan orang ramai terus berwaspada dengan penipuan, bursa itu akan memulakan beberapa siri hantaran dalam talian #stayalert setiap minggu tentang jenis penipuan pelaburan berbeza yang menyalahgunakan nama Bursa Malaysia.

Inisiatif #stayalert itu merupakan sebahagian daripada khidmat awam Bursa Malaysia untuk mendidik orang ramai terhadap penipuan pelaburan yang termasuk program literasi kewangan dan pelaburan ‘Sens-Ability’.

Selain itu, Bursa Malaysia juga mengingatkan kepada orang ramai bahawa ia tidak akan meminta mereka mengumpulkan dana bagi sebarang skim pelaburan kolektif dan menasihati mereka agar hanya melabur hanya dengan profesional pelaburan yang berlesen.

Bursa itu berkata sekiranya orang ramai menerima maklumat yang mencurigakan berkaitan dengan atau mendakwa sebagai ejen Bursa Malaysia, mereka perlu menghantar emel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-2732 0067 untuk mendapatkan pengesahan berhubung kandungan maklumat sedemikian. – BERNAMA