Antara produk 'tiada minyak sawit' di pasar raya di negara ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) kecewa apabila mendapati produk dengan label “Tiada Minyak Sawit” kini dijual oleh peruncit dan pasar raya di Malaysia walaupun negara berusaha keras untuk mempromosikan kebaikan minyak sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid menyifatkan serangan terhadap minyak sawit dan pelabelan “Tiada Minyak Sawit”, “Bebas Minyak Sawit” atau “Tidak Mengandungi Minyak Sawit” oleh pengeluar atau rangkaian pasar raya di Eropah amat dikesali kerana ini bukan sahaja bersifat komersial tetapi turut menjejaskan kredibiliti minyak sawit Malaysia.

Menurut beliau, MPOC bekerja keras mempromosikan minyak sawit di seluruh dunia ketika negara-negara barat menyemarakkan sentimen kebencian yang didalangi terhadap Malaysia yang menjadi pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia ini.

Daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas 2,609 premis di seluruh negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama Kementerian Industri Utama (kini Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi). mendapati terdapat 12 produk dengan label seperti “bebas minyak sawit” atau “tidak mengandungi minyak sawit”.

Sedangkan, pada 31 Okt 2019, Kabinet Malaysia telah meluluskan peraturan untuk mengharamkan penggunaan label produk yang menggambarkan konotasi negatif tentang minyak sawit.

Bagaimanapun, dengan tujuan untuk menggalakkan persaingan yang adil dan pemasaran yang seimbang, peruncit dan pengusaha pasar raya dikehendaki mematuhi Akta Perihal Dagangan 2011 untuk mengelakkan kenyataan palsu atau mengelirukan dalam pelabelan atau penerbitan iklan berkaitan dengan minyak sawit.

Namun, jika perlu (bergantung kepada tahap keterukan perkara itu) peraturan tersebut boleh diperluaskan ke dalam bentuk akta atau undang-undang yang lebih ketat untuk memudahkan penguatkuasaan atau untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap pengeluar dan/atau peruncit produk.

Selain daripada pematuhan terhadap peruntukan pelabelan makanan yang betul dan sepatutnya seperti yang dinyatakan dalam akta, terdapat keperluan utama untuk mematuhi Akta Perlindungan Pengguna 1999.

”Walau bagaimanapun, adalah sukar bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk membuktikan “pelabelan makanan yang menghina”, “pengiklanan yang menghina” atau “pelabelan negatif” produk makanan berasaskan minyak sawit.

”Sehubungan itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan objektif utamanya iaitu untuk menggalakkan pengembangan pasaran minyak sawit Malaysia serta mewujudkan penerimaan yang lebih baik terhadap minyak sawit secara global ingin menggesa rakyat Malaysia agar memberikan maklumat kepada pihak Majlis sekiranya mereka menemui sebarang bentuk amalan tidak adil yang dinyatakan di atas sama ada dari pihak pengeluar produk mahupun peruncit,” katanya dalam kenyataan ini.

Dalam hal ini, MPOC memuji rangkaian pasar raya terbesar Malaysia, Mydin yang mempunyai lebih 250 cawangan di seluruh Malaysia atas kesedaran dan ikrarnya untuk tidak menjual produk yang mempunyai pelabelan yang menyimpang serta mengelirukan. – MalaysiaGazette