Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Tenaga kerja pakar asing yang diperlukan segera bagi melaksanakan kerja kritikal dan kecemasan boleh memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) atau PLS@XPATS.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, majikan boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui pautan https://mtp.imi.gov.my/plsXpats.

Katanya, kelulusan akan diberikan dalam masa tiga hari bekerja manakala, warganegara asing yang memerlukan visa boleh membuat permohonan secara dalam talian.

“Melalui kemudahan masuk baharu itu, pemohon dibenarkan berada di negara ini selama 30 hari bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan dan kritikal dijalankan segera.

“Imigresen memperkenalkan kemudahan berkenaan berikutan terdapat keperluan dalam kalangan syarikat tempatan dan antarabangsa yang memerlukan kepakaran asing bagi melaksanakan kerja kritikal antaranya seperti membaiki mesin, janakuasa elektrik, kerja testing and commissioning sebelum aset dan kemudahan berkenaan boleh dibenarkan beroperasi” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pakar-pakar asing itu diperlukan segera supaya operasi dan produktiviti syarikat tidak terjejas serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.

Menurutnya, industri tempatan dan pihak berkepentingan boleh menghantar e-mel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast