PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan hari ini melancar laman web KKMNow, inisiatif baharu bagi menambahbaik penyampaian data kesihatan rakyat secara tepat, terkini dan relevan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif baharu itu merupakan kesinambungan atau perluasan kepada fungsi Portal CovidNow.

Katanya, langkah ini selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan juga usaha KKM mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian serta rujukan data oleh pengurusan KKM kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Portal KKMNOW ini akan menjamin kelestarian usaha transformasi data KKM dengan memastikan ketelusan data KKM dan pada masa yang sama, kerahsiaan maklumat peribadi pesakit kekal terpelihara.

“Skop KKMNOW yang lebih luas akan merangkumkan paparan data seperti maklumat berkenaan fasiliti-fasiliti kesihatan dan data berkaitan program kesihatan seperti pendermaan darah, ikrar pendermaan organ, saringan kesihatan dan PeKa B40, dan data berkaitan penyakit-penyakit berjangkit.

“Ia selari dengan aspirasi Kerajaan, MyDigital, portal KKMNOW direka untuk memaparkan data-data kesihatan yang diperolehi bukan sahaja daripada KKM tetapi juga melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi,” katanya di majlis pelancarannya di kementerian beliau hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Dr.Noor Azmi Ghazali dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut mengenai KKMNow, Khairy menambah, inisiatif ini akan memudahkan kumpulan penyelidik serta pembuat dasar memperolehi data-data berkaitan kesihatan.

“Dalam pada itu, masyarakat sivil juga akan memperoleh manfaat melalui bekalan data yang lebih berkualiti untuk menyokong aktiviti-aktiviti di peringkat komuniti.

“Manakala sektor swasta pula boleh menggunakan data-data ini untuk memacu daya inovasi, menjana nilai ekonomi dan merancang perkhidmatan yang dapat melengkapi perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerajaan,” kata beliau.

Menurut Khairy, KKM telah menjalankan kolaborasi strategik bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi membangunkan portal KKMNOW.- MalaysiaGazette