Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang meneliti cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk diambil tindakan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pertimbangan akan dilakukan pihaknya sekiranya terdapat kebaikan di dalam cadangan yang dinyatakan oleh PAC.

“Cadangan Tan Sri Ambrin Buang (Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan) kita setuju untuk laksanakan.

“Syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara juga akan diteliti. Jika ada kebaikan kita akan laksanakan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Pada Ahad lepas, Hishammuddin berkata, pembinaan LCS akan disambung semula sebaik semua rundingan dalam fasa mobilisasi yang sedang berlangsung selama enam bulan sejak Jun lalu, selesai pada penghujung Disember ini.

Beliau berkata, selepas fasa mobilisasi itu selesai, semua pihak terbabit mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan pembinaan kapal pertama LCS disiapkan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, telah menjawab di Parlimen mengenai langkah diambil Mindef untuk mengelak isu seperti LCS berulang.

Katanya, ia penting dan telah memberikan pengajaran agar apa yang berlaku tidak berulang.

PAC sebelum ini menyarankan tujuh langkah termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap dapatan Laporan PAC, Laporan Audit Forensik dan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Mindef perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan.

Dua syor PAC dalam Laporan Perolehan Kapal LCS iaitu menyahklasifikasi laporan JKSTUPKK dan Laporan Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS sebelum ini dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. – MalaysiaGazette