Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja membuat pendirian ‘flip flop’ dalam menguruskan krisis pandemik Covid-19 dahulu malah turut melakukan perkara serupa berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, pada bulan lalu, Muhyiddin dengan cukup gah mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menguruskan ekonomi dan berpandangan bahawa ‘pilihan raya wajar diadakan’.

Menurut beliau, Muhyiddin menyatakan bersedia masuk gelanggang sekiranya Perdana Menteri membubarkan Parlimen esok.

“Tiba-tiba bila UMNO putuskan bahawa pilihan raya wajar diadakan tahun ini, menteri-menteri PN pula hantar surat ke Istana Negara membelakangkan Perdana Menteri selaku ketua kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Dalam surat yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini, seramai 12 menteri dari PN menyatakan mereka tidak bersetuju sekiranya PRU-15 diadakan tahun ini.

Alasan-alasan yang diberikan mereka adalah banjir besar akibat monsun timur laut, ekonomi negara belum pulih, kemungkinan peratusan keluar mengundi rendah, Bajet 2023 mesti diluluskan terlebih dahulu dan majoriti rakyat tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini.

Shahril turut menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan PN bahawa ‘majoriti jemaah menteri memohon PM tidak adakan PRU15 tahun ini’ sebagai janggal kerana hanya 12 daripada 32 menteri Kabinet yang mengutuskan surat kepada Istana Negara.

“Jadi sekarang ni bagaimana Tan Sri Muhyiddin? PM dah hebat uruskan ekonomi? Atau sebenarnya PN takut tidak akan mendapat sokongan rakyat?” katanya. – MalaysiaGazette