Siti Farhana (kanan) menyampaikan replika cke RM10,000 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM.

KUALA LUMPUR – Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha meningkatkan kolaborasi dengan institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, sumbangan menerusi PPTI Group kerana percaya kerjasama dengan IPT penting untuk menaik taraf tahap pendidikan negara ke arah mewujudkan ekosistem pembelajaran yang holistik dari peringkat menengah ke IPT.

“Saya bangga apabila dapat terbabit sama sekali gus menjadi antara penyumbang alumni menerusi PTTI Group. PTTI menyumbang RM10,000 kepada UPM sekali gus membuka peluang untuk meningkatkan kolaborasi dengan institut pengajian tinggi (IPT).

“Dalam masa sama, PTTI komited untuk membuka peluang lebih besar untuk sebarang bentuk kerjasama dengan IPT yang mana ia antara langkah drastik untuk meningkatkan peratusan pelajar menyambung ke pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

PTTI menjadi antara penyumbang alumni pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-11, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diadakan di Dewan Besar Pusat Kesenian dan Kebudayaan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM berkenan berangkat ke majlis itu diringi Naib Canselor Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Presiden Persatuan Alumni UPM, Datuk Raihan Sharif.

Dalam perkembangan lain, Siti Farhana turut berkongsi PTTI kini telah melancarkan program khas Selekoh Akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diadakan pada Disember depan sebagai persediaan akhir menjelang SPM yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kami percaya ramai pelajar SPM tahun ini sedikit panik kerana terpaksa mengubah persekitaran belajar dengan mendadak dan ada banyak aktiviti sekolah yang perlu dilakukan sejak pembukaan semula sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh itu, PTTI percaya dengan kebolehan kami untuk membantu pelajar memperbaiki keputusan SPM yang mendatang demi menjamin masa depan lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette