Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Tindakan dua penuntut sebuah kolej swasta yang berpura-pura mencuba pakaian sebelum keluar dari premis dengan memakai pakaian berjenama itu akhirnya terbongkar.

Tindakan dua penuntut wanita itu disedari pekerja premis pakaian terbabit yang kemudian menahan kedua-dua suspek dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Taman Melawati di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, kedua-dua wanita berusia 21 tahun itu masuk ke salah satu premis menjual pakaian bernilai sebelum berpura-pura ingin mencuba tiga pakaian berharga RM429 di bilik persalinan.

“Selepas mencuba pakaian itu, suspek terus beredar namun sebelum sempat meninggalkan premis itu, tindakan mereka berjaya disedari pekerja premis terbabit yang kemudian telah menahan mereka.

“Bertindak atas maklumat kes curi dalam bangunan yang diterima, polis bergegas ke pusat beli belah tersebut sebelum menangkap kedua-dua suspek wanita itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua wanita itu pihaknya berjaya merampas barang kes dan buat tangkapan ke atas suspek kerana disyaki melakukan jenayah curi dalam bangunan.

“Pihak polis kemudiannya membawa suspek dan barang rampasan ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang jaya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Kedua-dua wanita itu ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis yang dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahannya boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda,” tegasnya. – MalaysiaGazette