Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad berjalan keluar selepas didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 7 Mac tahun depan bagi mendengar kes rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda.

Isa berdepan dengan tuduhan dan sabitan salah atas sembilan pertuduhan rasuah sebanyak RM3 juta yang dikaitkan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz yang dihubungi berkata, penetapan tarikh itu dilakukan ketika pengurusan kes yang dilakukan atas talian pada pagi ini.

“Mahkamah Rayuan juga telah meminta pihak terlibat untuk memfailkan hujah bertulis paling lewat pada 14 Februari 2023,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan hukuman penjara selama 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Namun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun setelah Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman itu dilakukan serentak.

Hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Mahkamah juga menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta selain tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.

Pada 4 Februari 2021, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya. _ MalaysiaGazette