Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Kerajaan terus memberi perhatian terhadap kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk golongan itu menerusi Bajet 2023.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu disediakan khusus untuk OKU melalui bantuan penjagaan pesakit kronik, elaun OKU tidak berupaya kerja dan elaun pekerja cacat.

“Kebajikan OKU akan terus diberi perhatian di samping melaksanakan inisiaitif yang berupaya menggilap potensi OKU untuk menyumbang kepada ekonomi diri,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam menggalakkan lebih ramai OKU berniaga, beliau berkata kerajaan akan terus memperkasa Skim 1 OKU 1 Perniagaan dengan mengecualikan bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Menurut Tengku Zafrul, selain itu kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi pemberian baucar perjalanan kepada OKU melalui perkhidmatan e-hailing dalam usaha memudahkan pergerakan komuniti itu.

“Bagi melindungi kebajikan murid dan guru pendidikan khas, kerajaan menyediakan RM20 juta untuk membekalkan peralatan mengajar serta menambah baik fasiliti di sekolah berkeperluan khas,” katanya dan menambah pendidikan anak-anak OKU akan terus diperkasa.

Tengku Zafrul berkata kerajaan turut menyediakan insentif khas bagi menubuhkan 50 taska OKU baharu berbanding 13 sedia ada bagi memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak-anak OKU ke tempat asuhan yang selamat.

“Kementerian Kewangan akan merintis Pusat Panggilan Mesra OKU dengan menggunakan mod panggilan video bersama khidmat jurubahasa isyarat bagi menyampaikan maklumat kepada OKU,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan pada masa ini terdapat 260,000 OKU layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). – BERNAMA