Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Pembaharuan komprehensif bagi menangani ketirisan subsidi barangan keperluan termasuk petrol dan diesel akan dilaksana agar kemudahan itu dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia sahaja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah pembaharuan itu bertujuan mengelak petrol dan diesel bersubsidi digunakan oleh warga serta kenderaan asing dan diseludup ke luar negara atau disalah guna.

“Langkah yang sama akan diambil bagi memastikan minyak masak dan gas asli cecair (LPG)  bersubsidi sampai ke isi rumah miskin dan kuotanya tidak disalah guna oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas pembentangan Bajet 2023 semalam.

Menerusi Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, sebanyak RM55 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Selain itu, Nanta berkata, peruntukan RM200 juta bagi Program Penyeragaman Harga bertujuan menampung kos pengangkutan dan kos pengedaran barang keperluan asas agar rakyat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau dapat menikmati harga sama dengan pengguna di bandar .

Beliau berkata, menerusi Bajet 2023, kerajaan akan berusaha mempromosi barangan Malaysia dan meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan menerusi peruntukan RM10 juta kepada kementerian itu bagi  memperhebat Kempen Beli Barangan Malaysia.

Katanya, kerajaan akan terus memperkasa kempen kepenggunaan khususnya berhubung hak-hak pengguna serta menyediakan bantuan khas pembiayaan pelantikan peguam bagi membantu pengguna dalam pengendalian kes permohonan semakan kehakiman di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan Bajet 2023 akan meneruskan kesinambungan inisiatif keperihatinan kerajaan demi membantu Keluarga Malaysia menempuh pascapandemik COVID-19, seterusnya memacu sektor pengangkutan untuk kembali bangkit.

Menurut kementerian itu, subsidi RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara luar bandar yang diteruskan tahun depan untuk manfaat penduduk di Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan komitmen kerajaan sejak 2007 menerusi syarikat penerbangan MASWings.

“Perkhidmatan itu akan dimanfaatkan penduduk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak iaitu pengangkutan udara merupakan mod pengangkutan utama bagi menghubungkan mereka dengan dunia luar,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan juga akan membina tanjakan kerusi roda di tujuh lapangan terbang di Sabah dan Sarawak yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,300 komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan MASWings.

Selain itu, pemberian 50 peratus diskaun ke atas tambang pengangkutan awam kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran Angkatan Tentera Malaysia dan kad pesara polis menerusi inisiatif MyWira merupakan tanda penghargaan atas jasa serta sumbangan tidak ternilai anggota keselamatan. – Bernama