SHAH ALAM – Biasanya ibu bapa memantau perkembangan pendidikan anak-anak dari luar kelas.
Namun Aisyah Abdul Rahim, 48, bertuah kerana bukan sahaja dapat memantau perkembangan anaknya, Nur Mastura Khairudin, 19, dalam kelas malah mereka berdua berjaya mendapat sijil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Jahitan Pakaian dan Fesyen GIATMARA di sini semalam.
Aisyah dan Nur Mastura menjadi rakan sekelas dan mencipta kenangan meraikan hari graduasi bersama.
Bagi Aisyah, dia tidak pernah menyangka untuk mengikuti kursus SKM bersama anak perempuannya pada mulanya namun kerana pada tahun 2019 dia hanya ingin menghantar Mastura untuk memulakan kursus kemahiran tersebut di pusat latihan itu.
“Saya bertanya kepada pihak GIATMARA adakah usia saya layak untuk mengikuti kursus tersebut dan pihak GIATMARA memberi jawapan positif mengatakan saya layak.
“Jadi, saya terus mendaftarkan diri kerana ingin menemani anak selain saya juga dapat menambahkan ilmu kemahiran dalam bidang jahitan.
“Sepanjang tempoh kursus, saya dapat lihat sendiri bagaimana anak saya belajar dan sekiranya perlu saya akan membantu Mastura begitu juga sebaliknya sekiranya kami menghadapi kesukaran ketika belajar.
”Terima kasih juga buat tenaga pengajar dan rakan sekelas lain yang banyak membantu kami sepanjang tempoh enam bulan kursus.
“Dan alhamdulillah hari ini (semalam) semuanya membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan kursus latihan dan bergraduasi bersama anak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi GIATMARA 2022 di sini semalam.
Tambah ibu kepada lapan orang anak itu, tiada masalah untuknya ke kelas bersama Mastura kerana suaminya banyak membantu menguruskan hal-hal rumah dan anak-anak.
“Suami saya pada ketika itu sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah, jadi sepanjang masa dia akan berada di rumah dan saya akan menyediakan makanan pada waktu pagi sebelum saya ke kelas bersama Mastura pada pukul 8 pagi dan akan habis pada pukul 5 petang,” ujarnya.
Sementara itu, Mastura gembira dan bersyukur merasai pengalaman berada dalam kelas yang sama dengan ibunya.
“Ada kalanya ketika saya berasa penat, berputus asa dan mengalami waktu sukar, ibu (Aisyah) yang banyak memberi sokongan kepada saya.
“Saya juga tidak boleh banyak leka kerana ibu akan sentiasa memerhatikan saya dan memastikan saya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Kata Mastura, selepas tamat latihan kursus, dia ingin terlebih dahulu menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Insya-Allah, jika ada rezeki saya ingin menyambung lagi kursus kemahiran ini di tahap tiga dan memulakan perniagaan dalam bidang jahitan bersama ibu,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Jabar Azman Jaafar merasmikan Majlis Graduasi GIATMARA 2022 di Management and Science University di sini semalam.
Seramai 834 graduan dari GIATMARA Malaysia di Selangor berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing dan 2,380 pelatih berjaya menamatkan latihan dan menerima Sijil Profesional GIATMARA di Selangor bagi tahun 2019, 2020 dan 2021.- MalaysiaGazette