Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempunyai tanggungjawab memartabat dan melindungi kesucian Islam termasuk larangan penyebaran agama lain ke atas penganut agama itu seperti yang dinyatakan dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan juga mempunyai keistimewaan untuk menubuh atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi-institusi Islam.

Katanya, kerajaan juga turut membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan bagi tujuan tersebut.

“Justeru, dalam usaha memartabat syiar Islam dengan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah, maka Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperkenalkan dokumen Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera bagi mendokong gagasan Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri.

“Pelaksanaan pendekatan ini berpandukan kepada prinsip asas Maqasid Syariah yang memelihara kemaslahatan melalui penjagaan lima prinsip utama meliputi penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah bersamaan 2022 Masihi di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Turut berangkat hadir pada sambutan itu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Idris berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai umat dalam golongan majoriti, masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia harus diberi kefahaman bahawa Islam meraikan kepelbagaian dan kemajmukan masyarakat yang merupakan satu aset negara.

Ia, katanya, perlu dipelihara keharmoniannya dengan sikap bertolak ansur tanpa meniupkan sentimen yang boleh menggugat dan ketenteraman di dalam negara.

Ia juga merupakan suatu medium untuk semua pihak mengenali perbezaan di antara kaum dan agama serta budaya masing-masing, katanya.

Sehubungan itu, bagi memastikan usaha kerajaan menyebar luas dan menyemarakkan syiar Islam, pihaknya telah menggariskan lima inisiatif MANTAP.

Lima inisiatif itu kata beliau iaitu pemantapan dari segi mental, jasmani dan rohani, pemantapan sistem pendidikan Islam, pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam, pemantapan institusi masjid dan surau serta pemantapan sosio-ekonomi ummah sebagai halatuju hal ehwal Islam.

Tambahnya, inisiatif MANTAP berjaya menampilkan Islam dengan wajah berkebajikan yang berusaha sedaya upaya memastikan seluruh rakyat dapat bangkit selepas pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.

“Oleh itu, dalam kita mengadakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan hari ini, pastinya kejayaan Baginda Rasulullah SAW sebagai negarawan yang ulung, perlu dicontohi khususnya corak kepimpinan baginda dalam mengurus tadbir masyarakat majmuk.

“Ia selari dengan hadith Nabi SAW yang bermaksud “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak,” katanya. – MalaysiaGazette