KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Perkembangan itu dimaklumkan  Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsudin dalam kenyataan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Parlimen ke-14 dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRU15.

Menurut beliau, semalam Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara.

“Dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pada jam 12.00 tengah hari itu, Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa pada 10 Oktober 2022.

“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen
ke-14,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU15  dalam tempoh terdekat mengambil kira Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula pertengahan November depan.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya. – MalaysiaGazette